Tuesday, March 23, 2010

Peristiwa di Kafe RZ..

Salam..

Sudin Menulis kembali..Sejujurnya tiada ilham datang menyinggah kerana ketika ini aku dalam kekenyangan setelah menikmati sup daging di Kafe RZ yang terletak berdekatan dengan kediaman aku di Bertam..

Namun, ada satu peristiwa kecil berlaku semasa aku sedang menikmati hidangan yang disajikan kepada aku..Seekor kucing yang kurus kering datang menggesel-gesel ke seorang lelaki yang turut sama menikmati hidangan yang telah dia pesan..Dan tidaklah aku kenali lelaki itu melainkan dapat mengagak bahawa mungkin dia merupakan salah seorang penuntut berdasarkan cara pemakaiannya di samping komputer riba di sebelahnya..Selain rakan-rakannya yang duduk bersama..

Entah kenapa mata aku terpaku memerhatikan telatah kucing tersebut namun firasat hati kecilku mengatakan bahawa ada sesuatu yang akan aku lihat yang pastinya membuatkan aku berfikir..

Agakanku tepat..Lelaki tersebut pada mulanya tidak mengendahkan geselan kucing tersebut di kakinya telah menendang kucing tersebut dengan kadar yang agak kuat..Manakan tidak, jika lelaki tersebut menguiskan sahaja kucing tersebut, maka kucing tersebut tidak akan mengeluarkan bunyi kesakitan..

Rasa marah aku membuak-buak bila melihatkan perlakuannya itu..Tidakkah dia tahu akan hukumnya menzalimi haiwan..Membuatkan aku seraya mengingati betapa Rasulullah begitu menyayangi haiwan..Malah, perawi hadith yang terkemuka, Abdurrahman bin Shakhr Al-Azdi, yakni Abu Hurairah sendiri mendapat gelaran tersebut kerana diriwayatkan bahawa betapa kasihnya dia pada kucing sehinggakan di dalam saku jubahnya diisi dengan kucing..Mungkin ramai yang sedia maklum akan makna Abu Hurairah iaitu Bapa/Pemilik kucing..

Namun, yang hanya mampu aku dan beberapa orang yang ternampak kejadian itu melihatkan sahaja dari jauh dengan perasaan simpati kepada haiwan comel tersebut..Tiada sesiapa pun yang berani untuk menegurkan perbuatan yang tidak menyenangkan itu membuatkan aku terfikir sendiri kenapa perlu didiamkan sahaja perihal yang benar? Apakah tindakan aku selepas itu?

Rokok kunyalakan seraya berjalan ke arah meja tersebut dan dalam keadaan bersahaja kukatakan kepadanya "Tak baik sepak binatang dik,".. Apakah jawapan lelaki tersebut?

"Maaf bang, tak sengaja,"..Pelik juga aku kerana dia begitu menerima teguran dengan baik sekali..Adakah kerana ketika itu aku dalam keadaan berkopiah, segak berbaju melayu dan berkain pelikat membuatkan dia merendahkan diri? Ataupun kerana dia memang tidak sengaja melakukannya dan menginsafi perbuatannya tadi?

Inilah membezakan manusia iaitu hamba ALLAH dengan yang Esa..Kita tidak dapat mengagak sama sekali apa yang bermain difikiran manusia lain seandainya tidak diluahkan sendiri oleh manusia tersebut..Namun, ALLAH Maha Berkuasa..Baru sahaja terlintas di fikiran kita sesuatu, sudahpun diketahuiNYA sebelum terlahirnya kita ke dunia yang kian uzur ini..ALLAHUAKBAR..

Terasa insaf pula bila menarikan jari-jemari ini sungguhpun ianya hanyalah sebuah kisah santai yang berlaku di celah-celah kehidupan umat akhir zaman ini..Harapnya ianya akan membuka mata kepada yang membaca dan berfikir..

Apa kesimpulannya?

Kita diberi akal untuk berfikir, maka gunakanlah nikmat tersebut sementara boleh..Dalam Al-Quran sendiri jika di kaji ayat-ayat keramat di dalamnya menyarankan kita untuk berfikir..Maka fikirlah..

Aku fikir tiba masa untuk Sudin Menulis berundur dahulu buat masa ini kerana aku akan menyertai pertandingan boling yang dianjurkan oleh syarikatku esok di Bukit Jambul..Doakan kejayaan pasukanku yakni Layan.com untuk mendapat tempat kedua ataupun ketiga nanti ya..Kenapa bukan tempat pertama? Kerana hadiah tempat pertama yang ditawarkan tidak begitu menarik hati..Tapi andainya ditakdirkan untuk kami mendapat tempat pertama, ALHAMDULILLAH..

Dengan itu, Sudin Menulis berhenti di sini..Senyum-senyum selalu..

No comments:

Post a Comment