Monday, March 22, 2010

Futsal Yang Menyeksa Diri..

Salam..

Minggu ini merupakan minggu tanpa bos di seksyen aku bekerja..Maka, kelegaan untuk mencari ular dan tulang-tulang yang dicuri terbuka luas..Dengan itu Sudin Menulis..

Semalam merupakan hari yang paling menyakitkan badan bila mana aku dan juga pasukan futsalku menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh syarikat BOSCH..Bila dilihat kembali sejarah perlawanan semalam, perasaan kucar-kacir bergolak di hati.. Manakan tidak, penyertaan kami sendiri berunsurkan tawakkaltu kepada ALLAH sedangkan latihan sekalipun tidak pernah dilakukan..Malah, pagi itu sendiri kehadiranku ke Kelab Safira (lokasi pertandingan) di dalam keadaan perut yang diistilahkan masuk angin keluar asap..Tetapi aku, masuk asap keluar angin..Haha..Tak sempat nak menjamah apa-apa makanan pun sebelum menjejakkan kaki ke kelab tersebut, persepsiku mengatakan bahawa di kelab tersebut ada menjual makanan, namun telahan aku silap..

Namun, cahaya pengharapan kelihatan semakin cerah bilamana aku dikhabarkan bahawa sarapan pagi disediakan oleh pihak penganjur..Roti berintikan telur rebus lecek..Roti pun roti lah janji perutku yang rancak menyanyikan lagu akan diam seketika..Namun, ujian datang lagi bila penganjur mengatakan bahawa makanan dan baju penyertaan hanya boleh diambil apabila ahli pasukan cukup 8 orang..Dan ketika itu kami hanya cukup ber-5..Sabar sahaja yang mampu kulakukan bila melihatkan orang lain begitu asyik mengunyah santapan mereka..Tika itulah hati aku mula mendoakan agar ahli-ahli pasukanku yang lain tiba dengan selamat ..Bukan kerana untuk menyertai perlawanan tersebut tetapi untuk mencukupkan kuota bagi membolehkan perutku terisi..Dan kesudahannya, mereka tiba juga dan senyaplah perutku seketika..

Sesudah itu, warna-warna kehidupan mula melitupi perlawanan tersebut bilamana agak banyak insiden dan mutiara kata yang aku pelajari daripada para peserta di sepanjang perlawanan tersebut dilangsungkan..Contohnya, bila ditanya:
Soalan: Kenapa tidak dapat mempamerkan permainan yang cemerlang?
Jawapan: Gigi aku sakit (Hahaha..Tiada kena mengena)
Rasa nak termuntah (Hahaha..Nasib badanlah)
Mata aku perpinar (Aku setuju kerana aku sendiri berpinar)
Sakit kaki (Logik)
Tangkap urat perut (Logik)
Nak kena pergi uji bakat Amazing Race Asia (Dahsyat, tiada komen untuk itu)
Biasa main padang rumput, ni padang simen (Bolehlah diterima akal)

Dan aku sendiri, jawapan yang ada jika ditanya “Terasa macam roh dah tendang bola tetapi pelik kaki tak bergerak”..(Logik kan dan aku pasti ramai yang merasakan alasan yang aku berikan ini)..

Bila difikirkan, kadangkala kita bagaikan terlupa bahawa persiapan itu sangat penting dalam menghadapi apa-apa perlaksaan yang telah ditetapkan..Mungkin kerana faktor masa dan kemampuan untuk memberikan komitmen yang menyebabkan kita begitu gah mengecapi sesuatu tetapi tiada usaha yang dilakukan untuk mengecapi akan itu..Dari pihak aku sendiri, yang cuma disediakan untuk pertandingan tersebut hanyalah rokok sekotak dan sebotol air mineral sungguhpun makanan itu merupakan satu keperluan..Ini baru perkara kecil, belum lagi diambil contoh yang besar..

Insaf menerjah ke dalam hati kerana pernah aku mendengar satu kuliah daripada seorang penceramah yang mengatakan bahawa setiap apa yang kita inginkan perlulah dibuat dengan cara berusaha, berdoa dan seterusnya bertawakal..Aku lebih banyak bertawakal daripada berusaha namun di atas sifatNYA yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, mungkin DIA membantu juga dengan RahmatNYA yang tiada batasan..Alhamdulillah..

Inilah perbezaan antara kita yakni hamba-hambaNYA yang lemah dengan ALLAH yang Maha Esa..Sebanyak manapun dosa-dosa yang telah kita lakukan, sekiranya kita bertaubat dan bersungguh untuk memperbaiki kesilapan kita, ALLAH dengan RahmatNYA akan menerima..Sebaliknya manusia sungguhpun dalam satu keluarga, jika ada ahlinya yang melakukan kesalahan dan bertaubat akannya, ahli keluarga lain akan memandang serong sehinggalah ke mati walaupun di mulut mereka mengatakan bahawa mereka sudahpun memaafkan kesalahan tersebut..Ikhlaskah ucapan maaf tersebut? Walluhu a’lam..

Senario ini banyak terjadi di dunia yang kian uzur ini dan menyebabkan begitu banyak keluarga yang porak poranda kerananya..Namun aku sangat bersyukur kerana keluarga aku tidak seperti yang baru aku huraikan..Mereka begitu memahami dan menyayangi diriku kerana bak kata Camelia Awang Damit (duta Loreal), kerana diriku begitu berharga..Terasa nak dihuraikan dengan lebih lanjut tetapi perlu aku mempersiapkan diri dahulu agar penulisan aku tidak tersasar daripada landasannya..InsyaAllah..

Hahaha..Sekadar makluman, rakan facebook aku kini telah mencecah bilang 36 dalam tempoh 3 hari..Dipukul rata, sehari aku berjaya mengumpulkan 10 kawan dan tak sabar rasanya untuk melihat siapakah bakal menerima anugerah rakan facebook ke-100..Masih jauh lagi nilai tersebut namun tiada salah menaruh harapan..Benarkah begitu?

Dan kembali ke cerita futsal semalam, pasukan kami Gremio FC (tak pasti pula dari mana dan apakah maksud perkataan tersebut) yang tidak cukup bilangan pemain berjaya untuk tewas 2 perlawanan dan seri 1 perlawanan..Jaringannya? Biarlah rahsia..Hahaha..Namun, aku lihat penyertaan kami ini hanyalah untuk mengisi masa lapang selain membina semangat berpasukan..Sungguhpun begitu, banyak pihak lawan yang mengharapkan kemenangan kami pada perlawanan ketiga..Kenapa? Hanya mereka yang tahu niat di hati mereka..

Sebelum itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga dan tahniah kepada Cik Dina kerana beliau merupakan pengikut blog Sudin Menulis yang sudah mendaftar secara sah..Ramai-ramailah menyertai blog ini kerana mungkin akan memberi manfaat kepada semua kerana kadangkala isu yang kecil inilah yang boleh memantapkan jiwa kita untuk persiapan di akhirat kelak..InsyaALLAH..Dan sebarang komen mahupun pendapat adalah sangat sangat dialukan kepada semua yang berfikir..

Sudin Menulis berhenti di sini..Sambungannya akan dicoretkan bila idea berkunjung tiba..Senyum-senyum selalu..

1 comment:

  1. sama2 encik sudin..:D
    eh, malu pulak rasa nama di'enter'frame kan dalam blog ni.hihihi..
    anyway, nice blog with nice words

    ReplyDelete