Wednesday, March 24, 2010

LAYAN.COM JUARA

Salam..

Apa khabar kepada semua? Semoga dalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya, InsyaAllah..Sudin Menulis sekadar untuk menghuraikan tajuk kiriman kali ini iaitu "LAYAN.COM JUARA"..

Alhamdulillah, tidak sama sekali disangka-sangka bahawa penyertaan pasukan kami yakni Layan.Com akan bisa menjuarai kejohanan boling yang dianjurkan oleh BOSCH..Dengan markah yang begitu jauh meninggalkan pasukan yang menduduki tempat kedua..

Kemenangan ini merupakan kemenangan yang tidak disangka-sangka kerana kami menggunakan konsep tawakkaltu kepada Allah..Tiada latihan dan tiada perancangan rapi..Hanyalah omongan kosong untuk mendapatkan kedudukan tempat kedua ataupun ketiga memandangkan hadiah tempat pertama sebagaimana yang telah aku katakan dalam kiriman semalam tidak menarik hati..Namun, nasib menyebelahi kami..Bak kata Wonderpet "Yang penting kerjasama"..

Sedang aku manarikan jari-jemari yang sakit ini disebabkan pertandingan tadi, hujan turun dengan begitu lebat di luar pusat siber yang sedang aku singgahi kini..Alhamdulillah..Sudah hampir agak lama bumi di Bertam tidak disirami oleh air Rahmat yang diturunkan oleh Allah..Ketandusan tanah di sini menyebabkan begitu cepat tumbuh-tumbuhan yang kutanam di halaman rumah layu selayu-layunya..Mungkin kerana aku hanya menanam dan jarang sekali menyirami dan membajainya..Insafi diri..

Mungkin perspektif di luar sana berbeza denganku..Mungkin ada yang mengeluh akan turunnya hujan dan sebaliknya..Lumrah manusia yang tidak pernah puas dengan Rahmat kurniaan Allah..Bila diturunkan hujan maka akan ada yang mengeluh..Bila tidak diturunkan hujan juga akan ada yang mengeluh..Kenapa ya?

Kadangkala, pengertian sesuatu itu tidak kita endahkan..Contohnya ketika aku sedang melayani asap-asap rokok di kawasan merokok kilang aku bekerja tadi yang mana aku ke situ dengan satu tujuan, satu matlamat dan satu niat iaitu untuk merokok..Hahaha..Kumpulan rakan-rakan seperokokku tidak turun untuk merokok ketika itu yang menyebabkan aku merokok bersendirian..Di kawasan khas itu, ada beberapa rakan sekilang yang tidak aku ketahui nama mereka kerana mereka bekerja di bahagian yang lain..Dan aku terus memasang telinga kerana kebosanan melayan fikiran..

Jelas kedengaran akan isi perbualan mereka tentang tikam-menikam dan nombor ekor..Sesuatu yang ternyata diharamkan oleh Islam yang indah lagi sempurna..Tidaklah tujuan Sudin Menulis ini untuk mengkritik tabiat berjudi mereka kerana aku yakin ianya merupakan sesuatu yang cukup mereka faham akan hukum-hakamnya berjudi..Namun, ada sesuatu yang membuatkan aku berasa tidak selesa akan perbualan mereka itu..Hayatilah apa yang tidak kena dengan dialog mereka yang akan aku taipkan di bawah:

"Ya Allah, nombor aku tak kena lagi," kata A..
"Sabaq, hang tak sabaq..Ada rezeki nanti naiklah nombor hang..Pas tu jangan pulak lupa kawan-kawan..Tak berkat oo kalau tak belanja kawan-kawan," kata B..

Canggung bukan? Dikaitkan nama yang Esa di dalam perbuatan yang terang-terang dilarang oleh Allah..Adakah mungkin si A dan B ini menggunakan kata-kata pujian itu sebagai halwa mulut mereka sahaja kerana telah diajar sejak kecil lagi oleh ibubapa mereka? Ataupun sememangnya mereka ingin merendah-rendah kemuliaan Allah? Namun aku pasti ada kemungkinan mereka ini masih lagi jahil ataupun alpa dengan nikmat kecil kehidupan di dunia tanpa menitik beratkan dunia yang kekal abadi dan implikasinya..Tiada yang boleh aku lakukan melainkan mendoakan agar mereka diberi hidayah..Untuk bersangka buruk, tidak sama sekali apatah lagi untuk menghukum mereka..Kerana Allah sendiri di dalam ayat Al-Quran ada berfirman dengan translasi yang lebih kurangnya sebegini "Janganlah kamu merendah-rendahkan orang lain kerana mungkin orang yang kamu rendah-rendahkan itu jauh lebih baik daripada kamu..Maka hendaklah kamu bersangka baik"..Dan aku pasti semua juga pernah terdengarkan kisah bagaimana seorang pelacur yang telah Allah janjikan syurga kerana menyuapi seekor anjing yang kehausan..Juga kisah akan pemuda yang telah membunuh 100 orang tetapi dijanjikan syurga setelah pemuda tersebut wafat..

Apakah kesimpulan yang ingin aku sampaikan kepada diri aku?

Bila berhadapan dengan seseorang individu yang pada mata kita begitu menyakitkan, tidak menyenangkan dan tiada membawa faedah, janganlah kita terus menghukum dengan merendahkan darjatnya sungguhpun hanya melalui hati kita sahaja..Doakanlah kebaikan dan kesejahteraan individu tersebut dan kemudian mengharapkan perlindungan daripada Allah..Dengan melakukan sebegini, ukhuwah bukan sahaja dapat dibentuk, malah mungkin boleh membawa kepada keamanan dan kasih sayang sesama manusia..Benarkan?

Sudin Menulis sampai di sini sahaja kerana perlu bergegas pulang ke rumah memandangkan hujan yang kian reda..InsyaAllah, diberi kesempatan, Sudin Menulis lagi..Senyum-senyum selalu..

Tuesday, March 23, 2010

Peristiwa di Kafe RZ..

Salam..

Sudin Menulis kembali..Sejujurnya tiada ilham datang menyinggah kerana ketika ini aku dalam kekenyangan setelah menikmati sup daging di Kafe RZ yang terletak berdekatan dengan kediaman aku di Bertam..

Namun, ada satu peristiwa kecil berlaku semasa aku sedang menikmati hidangan yang disajikan kepada aku..Seekor kucing yang kurus kering datang menggesel-gesel ke seorang lelaki yang turut sama menikmati hidangan yang telah dia pesan..Dan tidaklah aku kenali lelaki itu melainkan dapat mengagak bahawa mungkin dia merupakan salah seorang penuntut berdasarkan cara pemakaiannya di samping komputer riba di sebelahnya..Selain rakan-rakannya yang duduk bersama..

Entah kenapa mata aku terpaku memerhatikan telatah kucing tersebut namun firasat hati kecilku mengatakan bahawa ada sesuatu yang akan aku lihat yang pastinya membuatkan aku berfikir..

Agakanku tepat..Lelaki tersebut pada mulanya tidak mengendahkan geselan kucing tersebut di kakinya telah menendang kucing tersebut dengan kadar yang agak kuat..Manakan tidak, jika lelaki tersebut menguiskan sahaja kucing tersebut, maka kucing tersebut tidak akan mengeluarkan bunyi kesakitan..

Rasa marah aku membuak-buak bila melihatkan perlakuannya itu..Tidakkah dia tahu akan hukumnya menzalimi haiwan..Membuatkan aku seraya mengingati betapa Rasulullah begitu menyayangi haiwan..Malah, perawi hadith yang terkemuka, Abdurrahman bin Shakhr Al-Azdi, yakni Abu Hurairah sendiri mendapat gelaran tersebut kerana diriwayatkan bahawa betapa kasihnya dia pada kucing sehinggakan di dalam saku jubahnya diisi dengan kucing..Mungkin ramai yang sedia maklum akan makna Abu Hurairah iaitu Bapa/Pemilik kucing..

Namun, yang hanya mampu aku dan beberapa orang yang ternampak kejadian itu melihatkan sahaja dari jauh dengan perasaan simpati kepada haiwan comel tersebut..Tiada sesiapa pun yang berani untuk menegurkan perbuatan yang tidak menyenangkan itu membuatkan aku terfikir sendiri kenapa perlu didiamkan sahaja perihal yang benar? Apakah tindakan aku selepas itu?

Rokok kunyalakan seraya berjalan ke arah meja tersebut dan dalam keadaan bersahaja kukatakan kepadanya "Tak baik sepak binatang dik,".. Apakah jawapan lelaki tersebut?

"Maaf bang, tak sengaja,"..Pelik juga aku kerana dia begitu menerima teguran dengan baik sekali..Adakah kerana ketika itu aku dalam keadaan berkopiah, segak berbaju melayu dan berkain pelikat membuatkan dia merendahkan diri? Ataupun kerana dia memang tidak sengaja melakukannya dan menginsafi perbuatannya tadi?

Inilah membezakan manusia iaitu hamba ALLAH dengan yang Esa..Kita tidak dapat mengagak sama sekali apa yang bermain difikiran manusia lain seandainya tidak diluahkan sendiri oleh manusia tersebut..Namun, ALLAH Maha Berkuasa..Baru sahaja terlintas di fikiran kita sesuatu, sudahpun diketahuiNYA sebelum terlahirnya kita ke dunia yang kian uzur ini..ALLAHUAKBAR..

Terasa insaf pula bila menarikan jari-jemari ini sungguhpun ianya hanyalah sebuah kisah santai yang berlaku di celah-celah kehidupan umat akhir zaman ini..Harapnya ianya akan membuka mata kepada yang membaca dan berfikir..

Apa kesimpulannya?

Kita diberi akal untuk berfikir, maka gunakanlah nikmat tersebut sementara boleh..Dalam Al-Quran sendiri jika di kaji ayat-ayat keramat di dalamnya menyarankan kita untuk berfikir..Maka fikirlah..

Aku fikir tiba masa untuk Sudin Menulis berundur dahulu buat masa ini kerana aku akan menyertai pertandingan boling yang dianjurkan oleh syarikatku esok di Bukit Jambul..Doakan kejayaan pasukanku yakni Layan.com untuk mendapat tempat kedua ataupun ketiga nanti ya..Kenapa bukan tempat pertama? Kerana hadiah tempat pertama yang ditawarkan tidak begitu menarik hati..Tapi andainya ditakdirkan untuk kami mendapat tempat pertama, ALHAMDULILLAH..

Dengan itu, Sudin Menulis berhenti di sini..Senyum-senyum selalu..

Monday, March 22, 2010

Futsal Yang Menyeksa Diri..

Salam..

Minggu ini merupakan minggu tanpa bos di seksyen aku bekerja..Maka, kelegaan untuk mencari ular dan tulang-tulang yang dicuri terbuka luas..Dengan itu Sudin Menulis..

Semalam merupakan hari yang paling menyakitkan badan bila mana aku dan juga pasukan futsalku menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh syarikat BOSCH..Bila dilihat kembali sejarah perlawanan semalam, perasaan kucar-kacir bergolak di hati.. Manakan tidak, penyertaan kami sendiri berunsurkan tawakkaltu kepada ALLAH sedangkan latihan sekalipun tidak pernah dilakukan..Malah, pagi itu sendiri kehadiranku ke Kelab Safira (lokasi pertandingan) di dalam keadaan perut yang diistilahkan masuk angin keluar asap..Tetapi aku, masuk asap keluar angin..Haha..Tak sempat nak menjamah apa-apa makanan pun sebelum menjejakkan kaki ke kelab tersebut, persepsiku mengatakan bahawa di kelab tersebut ada menjual makanan, namun telahan aku silap..

Namun, cahaya pengharapan kelihatan semakin cerah bilamana aku dikhabarkan bahawa sarapan pagi disediakan oleh pihak penganjur..Roti berintikan telur rebus lecek..Roti pun roti lah janji perutku yang rancak menyanyikan lagu akan diam seketika..Namun, ujian datang lagi bila penganjur mengatakan bahawa makanan dan baju penyertaan hanya boleh diambil apabila ahli pasukan cukup 8 orang..Dan ketika itu kami hanya cukup ber-5..Sabar sahaja yang mampu kulakukan bila melihatkan orang lain begitu asyik mengunyah santapan mereka..Tika itulah hati aku mula mendoakan agar ahli-ahli pasukanku yang lain tiba dengan selamat ..Bukan kerana untuk menyertai perlawanan tersebut tetapi untuk mencukupkan kuota bagi membolehkan perutku terisi..Dan kesudahannya, mereka tiba juga dan senyaplah perutku seketika..

Sesudah itu, warna-warna kehidupan mula melitupi perlawanan tersebut bilamana agak banyak insiden dan mutiara kata yang aku pelajari daripada para peserta di sepanjang perlawanan tersebut dilangsungkan..Contohnya, bila ditanya:
Soalan: Kenapa tidak dapat mempamerkan permainan yang cemerlang?
Jawapan: Gigi aku sakit (Hahaha..Tiada kena mengena)
Rasa nak termuntah (Hahaha..Nasib badanlah)
Mata aku perpinar (Aku setuju kerana aku sendiri berpinar)
Sakit kaki (Logik)
Tangkap urat perut (Logik)
Nak kena pergi uji bakat Amazing Race Asia (Dahsyat, tiada komen untuk itu)
Biasa main padang rumput, ni padang simen (Bolehlah diterima akal)

Dan aku sendiri, jawapan yang ada jika ditanya “Terasa macam roh dah tendang bola tetapi pelik kaki tak bergerak”..(Logik kan dan aku pasti ramai yang merasakan alasan yang aku berikan ini)..

Bila difikirkan, kadangkala kita bagaikan terlupa bahawa persiapan itu sangat penting dalam menghadapi apa-apa perlaksaan yang telah ditetapkan..Mungkin kerana faktor masa dan kemampuan untuk memberikan komitmen yang menyebabkan kita begitu gah mengecapi sesuatu tetapi tiada usaha yang dilakukan untuk mengecapi akan itu..Dari pihak aku sendiri, yang cuma disediakan untuk pertandingan tersebut hanyalah rokok sekotak dan sebotol air mineral sungguhpun makanan itu merupakan satu keperluan..Ini baru perkara kecil, belum lagi diambil contoh yang besar..

Insaf menerjah ke dalam hati kerana pernah aku mendengar satu kuliah daripada seorang penceramah yang mengatakan bahawa setiap apa yang kita inginkan perlulah dibuat dengan cara berusaha, berdoa dan seterusnya bertawakal..Aku lebih banyak bertawakal daripada berusaha namun di atas sifatNYA yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, mungkin DIA membantu juga dengan RahmatNYA yang tiada batasan..Alhamdulillah..

Inilah perbezaan antara kita yakni hamba-hambaNYA yang lemah dengan ALLAH yang Maha Esa..Sebanyak manapun dosa-dosa yang telah kita lakukan, sekiranya kita bertaubat dan bersungguh untuk memperbaiki kesilapan kita, ALLAH dengan RahmatNYA akan menerima..Sebaliknya manusia sungguhpun dalam satu keluarga, jika ada ahlinya yang melakukan kesalahan dan bertaubat akannya, ahli keluarga lain akan memandang serong sehinggalah ke mati walaupun di mulut mereka mengatakan bahawa mereka sudahpun memaafkan kesalahan tersebut..Ikhlaskah ucapan maaf tersebut? Walluhu a’lam..

Senario ini banyak terjadi di dunia yang kian uzur ini dan menyebabkan begitu banyak keluarga yang porak poranda kerananya..Namun aku sangat bersyukur kerana keluarga aku tidak seperti yang baru aku huraikan..Mereka begitu memahami dan menyayangi diriku kerana bak kata Camelia Awang Damit (duta Loreal), kerana diriku begitu berharga..Terasa nak dihuraikan dengan lebih lanjut tetapi perlu aku mempersiapkan diri dahulu agar penulisan aku tidak tersasar daripada landasannya..InsyaAllah..

Hahaha..Sekadar makluman, rakan facebook aku kini telah mencecah bilang 36 dalam tempoh 3 hari..Dipukul rata, sehari aku berjaya mengumpulkan 10 kawan dan tak sabar rasanya untuk melihat siapakah bakal menerima anugerah rakan facebook ke-100..Masih jauh lagi nilai tersebut namun tiada salah menaruh harapan..Benarkah begitu?

Dan kembali ke cerita futsal semalam, pasukan kami Gremio FC (tak pasti pula dari mana dan apakah maksud perkataan tersebut) yang tidak cukup bilangan pemain berjaya untuk tewas 2 perlawanan dan seri 1 perlawanan..Jaringannya? Biarlah rahsia..Hahaha..Namun, aku lihat penyertaan kami ini hanyalah untuk mengisi masa lapang selain membina semangat berpasukan..Sungguhpun begitu, banyak pihak lawan yang mengharapkan kemenangan kami pada perlawanan ketiga..Kenapa? Hanya mereka yang tahu niat di hati mereka..

Sebelum itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga dan tahniah kepada Cik Dina kerana beliau merupakan pengikut blog Sudin Menulis yang sudah mendaftar secara sah..Ramai-ramailah menyertai blog ini kerana mungkin akan memberi manfaat kepada semua kerana kadangkala isu yang kecil inilah yang boleh memantapkan jiwa kita untuk persiapan di akhirat kelak..InsyaALLAH..Dan sebarang komen mahupun pendapat adalah sangat sangat dialukan kepada semua yang berfikir..

Sudin Menulis berhenti di sini..Sambungannya akan dicoretkan bila idea berkunjung tiba..Senyum-senyum selalu..

Saturday, March 20, 2010

11 kawan..

Hari ni aku dah mencapai bilangan kawan dalam facebook seramai 11 orang..Pencapaian yang memberangsangkan..Haha..

Tatkala aku menarikan jari-jemari ini dalam menyiapkan post yang terbaru, kedudukan aku berada di dalam kelas kuliah yang aku hadiri..Sungguh membosankan namun kerana hujan yang lebat menyirami bumi di luar bangunan, terpaksalah memakukan diri dan memekakkan telinga..Ekspresi wajah seolah menghayati pembentangan mereka namun hati sedang dibuai rindu..

Rindu?

Terlalu subjektif bila dihuraikan istilah rindu kerana lain hati lain rasa..

Kadangkala terfikir kenapa sebuah kehidupan itu memerlukan rindu..Adakah kerana berjauhan maka tercetusnya perasaan sebegini? Ataupun kerana jiwa yang kosong itu sedang dipenuhi belaian para kontinjen syaitan yang direjam..

Aku sendiri sejujurnya ingin merasai sebuah rindu yang sejati..Rindu pada penciptaku yang Esa..Rindu pada kekasihnya yang juga kekasihku yakni Muhammad..Rindu pada para sahabat baginda yang telah kukenali melalui penceritaan sejak abah, mak dan para kenalan yang aku kenali dan juga pembacaan sedikit yang dilakukan ketika rajin datang menyinggah..

Namun, bilakah aku akan dipertemukan dengan mereka ini? Tiadalah bongkak mahupun takbur namun pengharapan yang tinggi untuk perkara-perkara yang baik sama sekali tidak salah menurut pandangan mata hatiku yang diisi dengan ilmu yang sedikit..Benarkah begitu?

Sudin Menulis berhenti di sini kerana giliran aku untuk membuat pembentangan hampir tiba..Akan bersambung lagi kelak..IsyaAllah.

Friday, March 19, 2010

Salam..

Dah hampir 29 tahun aku hidup kat muka bumi ni dan baru hari ni facebook aku terlahir atas desakan begitu banyak pihak..Sedangkan bos aku sendiri ada facebook..Haha..Lucu pula bila mengenangkan usia tak menjadi halangan untuk berfacebook..

Dengan terhasilnya facebook ni, maka blog baru terpaksa aku cipta..Selamat tinggal blog lama..

Syahdu pula bila mengenangkan tahun 2010 ni..Banyak betul kenangan manis dan pahit yang datang silih berganti walaupun baru mencecah 4 bulan..

Yang menggembirakan tiada apa yang boleh aku katakan lagi selain bersyukur..

Tapi yang pahit memang tak dapat nak dinafikan lagi beratnya ujian tersebut..Namun janji ALLAH bahawa makin berat ujian tersebut menandakan tahap keimanan seseorang itu..Harapnya termasuklah aku ke dalam golongan yang beriman dan dikasihi..

Nak tulis banyak, ada assignment pula nak kena buat..InsyaAllah ada kesempatan Sudin Menulis..